|
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum wrt wbt Baru-baru ini, kita terus dikejutkan dengan berita kerajaan Malaysia, melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek telah membenarkan dan memberikan lesen judi sempena Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya dengan alasan untuk mengelakkan perjudian dan pertaruhan haram. Berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Maidah : 90-91 “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian, Judi merupakan suatu kegiatan yang bukan hanya ditegah dalam agama Islam tetapi saya percaya ia juga ditegah dalam semua agama. Kemudaratan turut dibuktikan dalam kajian-kajian perubatan dan sains yang jelas membuktikan ia dapat melemahkan kemampuan seseorang dalam membuat keputusan secara logik(refer: Problem gamblers share deficits in impulsive decision-making with alcohol-dependent individuals, Lawrence AJ (Lawrence, Andrew J.) et al. Ini seterusnya muncul isu-isu lain seperti kepercayaan kepada alam ghaib dalam menetukan kejayaan hidup dan bukannya kebergantungan kepada Tuhan. Segala yang berlaku akan dianggap nasib. Dari aspek kewangan, perjudian menyebabkan berlaku ketidaktetapan dalam pendapatan seseorang lalu mendorong berlaku peningkatan dalam kegiatan-kegiatan jenayah lain seperti pencurian, penipuan, kegiatan ah long dan sebagainya. Maka, kita lihat perjudian jelas melibatkan keruntuhan institusi kemasyarakatan, moral dan sebagainya. Memberikan lesen perjudian dengan tujuan untuk mengelakkan perjudian haram bukanlah tindakan yang tepat dalam usaha untuk menangani isu perjudian. Isu perjudian yang telah menjadi semakin parah dalam masyarakat Malaysia, tidak boleh diselesaikan dengan cara sebegini. Malah ia akan hanya akan lebih memburukkan keadaan. Dalam konteks Negara Malaysia yang mana majoritinya adalah beragama islam dan Malaysia sebagai Negara yang memartabatkan agama islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub dalam perlembagaan, maka semestinya, tindakan memberikan lesen judi ini hanya merosakkan imej agama islam dan imej Malaysia sebagai sebuah Negara islam sendiri. Selari dengan itu, Persatuan Pelajar Malaysia Cork, Ireland(PPMC) berpendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan tersebut demi kebaikan dan kemaslahatan masyarakat Malaysia secara amnya, dan masyarakat Malaysia di Cork khususnya meskipun tidak secara langsung. Kami menyeru pihak kerajaan untuk mengkaji semula tindakan ini dengan mengambil berat akan pandangan masyarakat berhubung tindakan tersebut. Saya percaya, banyak pertubuhan-pertubuhan di tanah air telah melahirkan pendirian masing-masing untuk tidak bersetuju dan membantah tindakan kerajaan tersebut. Maka kami menyeru pihak kerajaan untuk menimbangkan bantahan-bantahan tersebut kearah mencapai suatu keputusan dan tindakan yang lebih bijak. Kami juga menyeru pihak kerajaan untuk mendapatkan pandangan golongan agama berhubung isu ini. Justeru itu, kami juga menuntut Majlis Fatwa Negara menjelaskan pendirian mereka berhubung isu ini kerana ia isu agama yang begitu sensitive dan boleh mengelirukan rakyat. Saya juga menyeru semua warga Cork dapat menyuarakan tanda tidak setuju mereka melalui medium-medium yang bersesuaian dan menggunakan pendekatan-pendekatan yang baik dan tidak bersifat melulu. Dan diharapkan dengan usaha kami yang sedikit ini dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang dapat hidup dengan aman dan harmoni. -Pejabat Presiden- |